SEJARAH
SK Orang Kaya Mohammad mengikut sejarahnya telah
wujud sejak 99 tahun yang lalu. Sekolah ini telah dibina oleh Kerajaan Brooke
pada tahun 1912 tetapi maklumat lengkap tidak dapat diperolehi. Sekolah ini
pada tahun 1918 beroperasi dengan diterajui oleh seorang tenaga pengajar iaitu
Cikgu Abdul Rahman bin Kassim dengan bilangan murid seramai 30 orang sahaja.
Kesedaran di kalangan penduduk tentang pentingnya pendidikan pada waktu itu
menjadikan muridnya semakin bertambah, bangunan yang kecil itu tidak dapat menampung
bilangan murid yang ramai. Maka Kerajaan Brooke telah membina sebuah bangunan
yang baru dan saiznya agak besar sedikit. Pada tahun 1922, bangunan ke tiga
telah dibina. 10 tahun kemudian, sebuah bangunan baru telah dibina untuk
menampung 130 orang murid dengan 2 orang tenaga pengajar. Gambar bangunan awal
sekolah ini yang dibina sebelum tahun 1953 tidak dapat diperolehi.
Tapak asal sekolah
ini terletak berdekatan dengan Tugu Peringatan, di tengah-tengah Bandar Bintulu
kini. Selepas Perang Dunia Kedua, dalam tahun 1946, bangunan sementara telah
dibina oleh Kerajaan Sarawak di tengah-tengah Kampung Sinong bagi menggantikan
bangunan lama yang telah rosak. Beberapa tahun kemudian, penduduk kampung
berdekatan telah mengadakan beberapa mesyuarat yang diketuai oleh seorang
pegawai bumiputera untuk mencari kata sepakat bagi menambahbaikan bangunan yang agak usang
ketika itu.Pada tahun 1952,
satu Mesyuarat Agong telah diadakan yang bertujuan untuk membina bangunan
sekolah yang baru dan kukuh untuk menampung bilangan murid yang berjumlah 200
hingga 300
orang.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Abang
Zainuddin bin Adi selaku Senior Native Officer, Bintulu pada ketika itu.
Mesyuarat itu juga dihadiri oleh beberapa orang kenamaan tempatan. Dalam
mesyuarat itu, satu keputusan telah dicapai untuk membina sebuah bangunan
sekolah baru dan satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengutip derma dalam
Daerah Bintulu bagi menampung kos perbelanjaan pembinaan bangunan tersebut.
Jawatankuasa Pembangunan ini dianggotai
oleh:
Penasihat : Allahyarham Tuan Haji Abang Zainuddin Adi
Pengerusi : Allahyarham Tuan Haji Hashim Sulak
Setiausaha : Allahyarham Tuan Haji Wan Nong Chee
Bendahari : Allahyarham Tuan Haji Sheikh Aminullah
Ahli Jawatankuasa :
Allahyarham Tuan Haji Edris Haji Abdul Rahman
: Allahyarham Tuan Haji Pengiran Dris
Pengiran Berasap
: Allahyarham Encik Enche Mahmud (Mamo’)
: Allahyarham Tuan Haji Pengiran Edira b. Haji Abd. Karim
Pada 15.02.1953,
bangunan yang telah dibina oleh Kerajaan Sarawak pun dirobohkan. Kerja
merobohkan telah dibantu oleh penduduk-penduduk kampung secara sukarela dan
diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Zainuddin Adi serta ahli –ahli jawatankuasa
bangunan. Pembinaan bangunan baru pula diketuai oleh dua orang tukang kayu yang
mahir pada ketika itu iaitu Allahyarham Tuan Haji Pengiran Karim dan Encik
Enche Mahmud (Mamo’). Hasil kerja keras tersebut telah mendapat ganjaran dari
penduduk kampong sebagai tanda terima kasih mereka di atas pembinaan bangunan
baru tersebut. Sementara menunggu bangunan baru itu siap dibina, sesi
persekolahan masih diteruskan.
Murid-murid
ditempatkan di rumah Cikgu Masleh, rumah Tuan Haji Pengiran Hamzani dan di
Court Melayu. Guru-guru yang
bertugas pada ketika itu ialah:
1. Allahyarham Tuan Haji Pengiran Jaya b.
Pengiran Tajuddin (Guru Besar)
2.
Allahyarham Mohd. Deli Bujang (Penolong Guru Besar)
3.
Allahyarham Masleh Haji Wen (Penolong Guru Besar)
BAGAIMANA SK. ORANG
KAYA MOHAMMAD MENDAPAT NAMA
Kira-kira 1½
abad dahulu, Daerah Bintulu ini adalah di bawah jagaan Kerajaan Brunei.
Sultan Brunei
telah melantik beberapa orang tempatan untuk menjadi wakil dan ketua untuk
menjaga ketenteraman dan keselamatan daerah ini. Seorang daripada ketua-ketua
itu ialah Mohammad bin Sungan. Beliau merupakan seorang ketua yang cerdik,
amanah dan bertanggungjawab di dalam menjalankan tugas-tugas beliau sehingga
menjadikan Daerah Bintulu menjadi aman dan damai. Rakan-rakan dan penduduk tempatan menggelar beliau
dengan nama “Orang Kaya” atau “Orang Kaya Pemanca Mohammad”.
Bagi mengenang jasa baik, sifat adil dan
saksama sebagai seorang pemimpin serta menjaga kebajikan penduduk-penduduk di
Daerah Bintulu, maka nama beliau telah diambil sebagai nama sekolah Melayu yang
pertama dibina di Daerah Bintulu pada masa itu. Orang Kaya Mohammed School kini
dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad.